Refleksi
merupakan satu tindakan yang boleh dilakukan oleh pengkaji bersama rakan atau
orang yang lebih mahir dalam sesuatu
bidang. Proses refleksi ini melibatkan beberapa tahap penting iaitu
analisis, sintesis, interpretasi, menjelas dan membuat kesimpulan. Menurut
Hanpiah (2000) dalam Othman Lebar (2011 : 103) menjelaskan refleksi merupakan
proses merenung, menganalisis masalah, mencari alasan, cadangan dan tindakan
untuk memperbaiki diri. Ini jelas menunjukkan bahawa refleksi ini lebih memberi
tumpuan kepada penyelidik untuk menilai sesuatu permasalahan yang berlaku bermula
dari perancangan sehingga selesai kajian dilakukan. Dengan kata lain refleksi
merupakan tindakan bertujuan dan berhati-hati melalui penilaian secara kritikal
yang melibatkan pengujian strategi seseorang untuk memberi respon kepada
situasi atau tindakan (Othman Lebar 2011 : 103).
Tindakan
diambil oleh pengkaji dalam kajian tindakan tidak semestinya boleh mengubah
tingkah laku responden. Sebelum kajian dilakukan pengkaji akan menggunakan
pemikiran relatifnya untuk menentukan tindakan yang sesuai digunakan dalam
kajiannya. Semasa dan selepas kajian tindakan dilaksanakan pengkaji akan
melakukan refleksi untuk menilai kesan tindakan kajiannya. Jika didapati bahawa
tindakan yang dilakukan kurang memuaskan pengkaji akan membuat analisis,
menilai semula tindakannya untuk mencari sebab mengapa tindakannya kurang
berkesan, dan seterusnya merancang tindakan yang baru untuk digunakan dalam
kajian tindakan yang seterusnya. Oleh itu proses refleksi dalam kajian tindakan
memainkan peranan yang penting untuk menentukan apakah jenis tindakan yang
seterusnya.
No comments:
Post a Comment