Wednesday, 4 May 2016

Refleksi pertama




Saya masuk ke kelas tingkatan empat zuhal. Saya bercadang untuk mengajarkan rumusan kepada mereka. Saya bercadang selepas murid dapat memberikan beberapa isi penting saya ingin meminta mereka membuat satu rumusan yang lengkap. Saya juga ingin  menyentuh aspek berkaitan mencari isi tersurat yang terdapat dalam petikan tersebut. Saya juga bercadang untuk memasukkan elemen tatabahasa dalam pengajaran saya tersebut.
            Saya memulakan kelas dengan berbincang dengan pelajar berkaitan bahaya merokok. Bagi memudahkan pemahaman pelajar saya telah melukis gambar sebatang rokok dan menjadikan gambar tersebut sebagai panduan kepada saya untuk menulis maklum balas yang diberikan oleh pelajar setelah saya mengemukakan soalan. Pelajar memberikan reaksi  yang positif dengan menjawab semua soalan saya dengan baik. Mereka juga mudah untuk berinteraksi dengan saya kerana isu yang saya bawa merupakan isu yang sering berlegar dalam kehidupan mereka.
            Saya telah memberikan lembaran petikan kepada pelajar. Saya meminta mereka untuk membaca petikan tersebut secara senyap. Kemudian saya meminta mereka untuk membacakan secara kuat dan saya memilih secara rawak pelajar untuk membaca petikan tersebut. Apa yang menghairankan saya semua pelajar dapat membaca petikan tersebut namun bila saya meminta mereka menunjukkan isi yang terdapat dalam petikan tersebut mereka tidak dapat menunjukkan dengan baik. Pelajar yang pintar mampu untuk menunjukkan isi tersebut namun bagi pelajar yang kurang cerdas mereka tidak mampu untuk menunjukkan isi tersebut dengan baik. Selain itu mereka juga menghadapi masalah untuk membuat rumusan yang lengkap. Saya sengaja membiarkan mereka membuat latihan dalam beberapa minit bagi melihat hasil yang akan diperolehi. Namun rumusan yang dihasilkan bukan satu rumusan yang baik dan lengkap.
            Saya terpanggil untuk mengetahui apakah sebenarnya yang berlaku. Apakah petikan yang saya bagi terlalu berat untuk difahami oleh pelajar sederhana? Adakah petikan tersebut mengandungi kosa kata yang tinggi sehingga menyukarkan pemahaman pelajar untuk mencari isi tersebut. Adakah mereka tidak mengetahui cara yang betul untuk membuat rumusan? Adakah mereka tidak memahami dengan baik apa yang dimaksudkan dengan isi tersurat dan tersirat? Adakah mereka tidak mengetahui format penulisan yang sebenar?  Bagi memastikan masalah sebenarnya yang berlaku saya telah bertanya kepada pelajar masalah yang dihadapi oleh mereka.
            Saya sedar bahawa terdapat pelajar yang tidak memahami petikan yang dibaca dan merekanya membaca petikan tersebut kerana mengikut arahan saya. Saya rasa pelajar yang tidak memahami petikan tersebut merupakan pelajar yang kekurangan perbendaharaan kata sehingga menyebabkan mereka tidak memahami petikan yang dibaca dengan sempurna. Saya yakin jika saya menggunakan kosa kata atau laras bahasa yang lebih mudah pastinya pelajar akan dapat memahami petikan tersebut dengan lebih baik. saya juga menyedari bahawa bagi mereka untuk menulis rumusan merupakan satu perkara yang agak sukar memandangkan terdapat beberapa teknik yang perlu digunakan oleh mereka untuk menghasilkan rumusan yang lengkap. Pelajar juga kurang jelas dengan maksud isi tersurat dan isi tersirat serta format penulisan yang betul. Disebabkan itu mereka tidak dapat membuat rumusan dengan baik dan tepat.
            Saya bercadang untuk pengajaran yang akan datang saya akan memilih petikan yang bersifat agak sederhana dan bahasa yang digunakan dalam petikan tidak terlalu  tinggi bagi memastikan pelajar dapat memahami petikan yang dibaca kemudian mampu untuk mencari isi tersirat yang terdapat dalam petikan tersebut. saya juga tidak akan meminta murid untuk membuat satu rumusan yang lengkap sebaliknya saya akan mengajar setiap langkah terlebih dahulu sebelum meminta mereka untuk membuat satu rumusan yang lengkap. Saya akan menekankan kepada teknik untuk menyatakan isi tersirat memandangkan isi tersirat ini memerlukan pemikiran yang lebih mendalam dan saya merasakan bahawa isi tersirat ini lebih penting dan tidak terdapat dalam petikan. Saya akan memberi tumpuan kepada isi tersirat terlebih dahulu. Saya bercadang untuk memberikan beberapa tajuk dan berbincang dengan murid berkaitan dengan isi tersirat yang mungkin terdapat dalam petikan tersebut. Aktiviti ini akan lebih tertumpu pada sumbang saran dan sedikit kerja berkumpulan.

No comments:

Post a Comment